Monday, March 30, 2009

Muhibah Pakatan Rakyat di hari penamaan calon

ANGKA dan nombor mungkin menjadi isu menarik sepanjang hari penamaan calon PRK Parlimen Bukit Gantang, 29 Mac lalu. Apakan tidak, jumlah penyokong Pakatan Rakyat yang membanjiri bandar Taiping dianggarkan lebih 30,000 orang berbanding 5000 penyokong BN.

Mungkin ada antara 'penyokong fanatik' Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan angka itu kerana diyakini jumlahnya lebih besar. Bagaimanapun bukan angka yang penting tetapi semangat dan daya juang yang ditunjukkan para penyokong Pakatan.

Sebelum Subuh lagi, perkarangan Masjid Lama Bandar Taiping telah pun dibanjiri para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

Solat Subuh pagi itu berlangsung umpama solat Jumaat! Malah kumpulan-kumpulan jamaah yang tidak sempat untuk bersolat kerana ketiadaan tempat turut menunaikan solat Subuh berjemaah kemudiannya dengan jumlah yang ramai juga.

Difahamkan, dua buah masjid lagi - masjid baru dan Masjid India di bandar Taiping turut mengalami situasi yang serupa.

Solat hajat berlangsung pada jam 7.30 pagi sebelum majlis perarakan ke tempat penamaan calon. Malah sebahagian para penyokong Pakatan Rakyat sudahpun beransur-ansur bergerak ke Majlis Perbandaran Taiping seawal jam 7.00 pagi.

Kiri-kanan jalan dipenuhi para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang masing-masing gah berbaju-T, berlilit kepala dan memegang bendera berlambang bulan. Lambang-lambang KeADILan dan DAP juga diperagakan.

Kehadiran puluhan ribu penyokong Pakatan juga disambut mesra penduduk bandar Taiping. Kenderaan yang bertali arus membunyikan hon tanda sokongan termasuk oleh kenderaan-kenderaan milik kerajaan dan Majlis Perbandaran.

Para anggota trafik juga hadir di persimpangan-persimpangan lampu isyarat bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan dan peserta perhimpunan.

Dalam kebanjiran para penyokong PAS yang bertali arus ke tempat perhimpunan, masyarakat Cina yang menjadi penonton setia di tepi-tepi kaki lima bangunan melambai-lambai tangan memberikan sokongan.

Ada antara mereka yang melaungkan kata-kata semangat sambil bertepuk tangan.

Apa yang menarik perhatian, baju-T dan bendera lambang PAS bukan sahaja dipegang para penyokong PAS, malah turut dipakai dan diarak kaum Cina dan India.

Seorang lelaki tua Tionghua dan rakannya memberitahu telah bangun pada jam 5 pagi dan bertolak dari Ipoh untuk turut berarak ke pusat penamaan calon.

Seorang wanita Tionghua yang ditemui mengaku datang daripada Bukit Damansara Kuala Lumpur bersama tiga rakannya.

"Kami akan duduk di sini sehingga 7 April untuk membantu kempen (calon PAS)," katanya bangga.

Sokongan hangat masyarakat setempat kepada para penyokong Pakatan Rakyat benar-benar menghidupkan suasana muhibah di pagi hari penamaan calon itu.

Kehadiran para pemimpin utama DAP seperti Penasihatnya, Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, Pengerusi Publisiti, Ronnie Liu, anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggambarkan semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Malah puluhan ribu penyokong Pakatan turut dihiburkan dengan kehadiran kumpulan gendang India Kelab Penyokong PAS yang turut memeriahkan suasana hari penamaan calon.

Beberapa 'insiden nakal' juga berlaku apabila para pemimpin Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yasin, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Dato' Tengku Adnan Mansor, Dato' Mustapha Mohamad dan Dato' Jamaluddin Jarjis disorak para penyokong Pakatan Rakyat dengan pelbagai slogan ketika berjalan kaki ke Bangunan Umno Taiping dari hotel kediaman mereka bagi memulakan perarakan BN.

Malah Jamaluddin yang melambai-lambai tangan ke arah penyokong Pakatan Rakyat dari kaki lima hotel kediamannya di Jalan Kota disorak dengan pelbagai slogan antaranya "rasuah" dan "raba".

Bagaimanapun tiada seorang pun pemimpin Umno dan BN dikasari secara fizikal seperti dialami Karpal Singh yang dibaling botol air minuman oleh para penyokong BN.

-SUMBER DARI HARAKAHDAILY.NET

1 comment:

  1. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang meminta agar rakyat tidak menjadikan tiga pilihan raya kecil pada 7 April ini sebagai satu “pungutan suara”
    mohyidin bodoh! mohyidin kate PRK 3tpt bukan pungutan suara rakyat..
    abis pungutan duit poket die?

    fakta telah beritahu..
    link:
    http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/03/pilihan-raya-malaysia-bijaknya-yab-ds.html

    ReplyDelete