Monday, May 4, 2009

Tiada Sangkut Paut DSI Anwar Ibrahim dengan Hala Tuju PAS....



Perdebatan berkenaan kewajaran pucuk pimpinan PAS Pusat dipertandingkan kelihatan semakin hangat diperbahaskan. Kesemua ini adalah kerana timbulnya isu `Kumpulan Erdogan' serta `Kerajaan Perpaduan' yang telah mula dimainkan oleh beberapa pihak di dalam PAS dan diperhangatkan lagi oleh `media-media haprak' yang seringkali bersikap seperti anjing kelaparan. Namun demikian, amat malang sekali beberapa pemimpin di dalam PAS kelihatannya seperti tidak menyedari betapa musuh-musuh mereka sentiasa mencari ruang untuk memusnahkan perpaduan yang ada di dalam PAS sejak sekian lama. Saya sejak awal lagi memberi pendapat bahawa jawatan Presiden PAS tidak wajar dipertandingkan kerana tiadanya keperluan untuk berbuat demikian.

Sekiranya PAS memerlukan beberapa pengisian untuk memantapkan arah tuju perjuangan mereka, adalah lebih wajar beberapa jawatan lain selaku pembantu kepada Presiden seperti Timbalan Presiden dan Naib Presiden dipertandingkan. Sekiranya ahli-ahli PAS berpendapat bahawa kepimpinan yang ada cukup untuk menjadikan PAS lebih kuat dan gagah untuk berhadapan dengan musuh-musuh mereka, maka tiada salahnya mereka mengekalkan kepimpinan yang ada. Proses menentukan kepimpinan di dalam PAS selalunya berakhir dengan baik, muhibbah dan penuh ukhwah. Inilah kelebihan sekiranya kaedah Islam diguna pakai bagi menentukan kepimpinan sesebuah jemaah.

Apa yang mendukacitakan saya ialah apabila AJK PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan cuba pula untuk mengaitkan DS Anwar di dalam kemelut PAS sekarang (Rujuk Akhbar Sinar Harian 04 Mei 2009).Beliau seolah-olah cuba untuk memberitahu beberapa pemimpin di dalam PAS bahawa tidak wajar semata-mata untuk menyalahkan Timbalan Presiden PAS sekarang, Ustaz Nasa berkenaan isu Kerajaan Perpaduan, sebaliknya DS Anwar juga patut turut dipersalahkan. Saya tidak faham mengapa begitu dangkal pemikiran AJK PAS Pusat tersebut. Beliau seharusnya faham bahawa perdebatan yang berlaku di antara Datuk Husam dan Hj Nik Amar adalah dari segi pandangan semata-mata berkaitan dengan hala tuju PAS akan datang. Mengapa pula tiba-tiba nama DS Anwar timbul di dalam polemik ini? Apakah DS Anwar selama ini memainkan peranan untuk mengubah dasar atau hala tuju PAS? Mustahil perkara ini berlaku di dalam PAS kerana pemimpin di dalam PAS bukan seperti `kerbau yang dicucuk hidung'.

Kita akui DS Anwar banyak memainkan peranan bagi menentukan hala tuju Pakatan Rakyat, itu pun secara muafakat dan persafahaman bersama pimpinan PR. Mana mungkin DS Anwar berupaya untuk menentukan hala tuju atau dasar parti-parti sekutu seperti PAS dan DAP. Oleh yang demikian, kurang bijak malah bersikap `nakal' jika Datuk Takiyuddin Hassan cuba untuk mengaitkan nama DS Anwar di dalam rumahtangga PAS. Apakah beliau beranggapan bahawa DS Anwar adalah orang Tn Guru Nik Aziz atau pun orang Tn Guru Hj Hadi? Saya beranggapan DS Anwar adalah penyokong kepada kepimpinan PAS bukan kepada individu tertentu di dalam PAS. Amat mendukacitakan apabila label `Kumpulan Erdogan' mulai laku di dalam pasaran menjelang pemilihan kepimpinan di dalam PAS. Sayang sekali, timbul kembali isu `Kerajaan Perpaduan' di dalam PAS meskipun Tn Guru Presiden sendiri telah memaklumkan bahawa tiada lagi Kerajaan Perpaduan apabila Najib dilantik sebagai PM.

Adalah menjadi harapan agar pemilihan di dalam PAS akan datang penuh dengan semangat demokrasi bertunjangkan Islam. Hapuskan segera sifat syak wasangka sesama pimpinan dan juga rakan seperjuangan. Hati rakan seperjuangan perlu dijaga apatah lagi mereka banyak membantu perjuangan kita bersama. Jangan kerana ingin menonjol dan bersuara untuk menampakkan kita adalah seorang pejuang yang tegas dan berani, maka kita pun bersuara tanpa memikirkan apakah kita bertindak dengan betul dan bijak.



kenyataan macam inilah punca meretakkan perhubungan pakatan rakyat.....kalau x puas hati jumpe jer...xperlu nk buat kenyataan media..poorah!!!!!!!!!!!!!!




No comments:

Post a Comment